DUNIA
China setuju tandatangani SEANWFZ, Rusia masih pertimbang

Datuk Seri Mohamad Hasan, bertemu Menteri Luar China, Wang Yi pada Mesyuarat Pasca-Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN Bersama China di sini hari ini. - Gambar/ Wisma Putra
KUALA LUMPUR: China akan menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebaik sahaja semua proses dokumentasi dilengkapkan.
Ringkasan AI
- China bersetuju menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang reservasi selepas dokumentasi dilengkapkan, manakala Rusia masih dalam proses rundingan awal.
- Mesyuarat ASEAN-China turut membincangkan isu laluan bebas dan langit terbuka di Laut China Selatan serta keperluan menghormati UNCLOS, termasuk kemajuan bacaan draf ketiga Kod Etika Tatalaku (COC).
- Menteri Luar Malaysia menekankan kebergantungan dan kesalinghubungan antara ASEAN dan China sebagai asas untuk memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala, khususnya dalam perdagangan dan keselamatan.
SEANWFZ, yang dimeterai di Bangkok, Thailand pada Disember 1995 menggariskan tiga matlamat utama iaitu menjadikan Asia Tenggara kawasan bebas senjata nuklear, mengukuhkan keamanan dan keselamatan serantau, serta menggalakkan penggunaan tenaga nuklear hanya untuk tujuan aman.
Ia ditandatangani oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN, namun masih belum disertai oleh mana-mana negara lain.
“Rusia juga sedang pertimbang untuk menandatangani perjanjian SEANWFZ bersama ASEAN, tetapi dokumentasinya akan dirundingkan di peringkat pegawai terlebih dahulu,” tambah Mohamad.
Katanya, pelbagai perkara turut disentuh dalam mesyuarat bersama China hari ini, yang melibatkan kerangka bilateral dan multilateral.
“(Kami bincangkan) isu laluan bebas (perkapalan) dan langit terbuka di Laut China Selatan, dan keperluan menghormati Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS),” katanya.
Pertikaian sempadan di Laut China Selatan merupakan salah satu isu yang sering berbangkit dalam dialog antara China dan ASEAN.
Awal tahun ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan bacaan draf ketiga Kod Etika Tatalaku (COC) bagi lautan tersebut, dengan sasaran untuk mempersetujui dan menandatanganinya secara rasmi dalam masa terdekat.
Mohamad berkata, kebergantungan dan kesalinghubungan antara ASEAN dan China membuatkannya yakin matlamat itu mampu dicapai.
“ASEAN ialah rakan dagangan kedua terbesar bagi China.
“Jadi saya rasa ada lebih banyak ruang untuk kita memperbaiki dan mengukuhkan hubungan dua hala dan pelbagai hala kita dengan China,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami