KERAJAAN China telah mengeluarkan arahan kepada syarikat telekomunikasi tempatan untuk berhenti menggunakan cip keluaran negara luar seperti Intel dan AMD pada peralatan komunikasi menjelang 2027, menurut laporan Wall Street Journal.

Arahan yang diberikan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China dilihat sebagai membalas tindakan Amerika Syarikat (AS) dan negara sekutunya yang mengharamkan kelengkapan komunikasi Huawei dan ZTE daripada digunakan di negara mereka.

Bulan lalu garis panduan telah dikeluarkan China untuk menghalang penggunaan cip Intel dan AMD pada komputer milik kerajaan.

Ini pasti mendatangkan impak kepada Intel dan AMD yang menjana sehingga 27 peratus pendapatan tahunan mereka di pasaran China.

China melakukan pelaburan besar untuk membangunkan industri semikonduktor mereka sejak AS mula meletakkan syarikat tempatan dalam senarai entiti. Impak terbesar dapat dilihat pada Huawei yang hampir tersungkur disebabkan oleh pengharaman akses kepada pembuatan cip.

Tahun lalu Huawei kembali dengan garang selepas berjaya menghasilkan cip baharu sendiri dan juga kembali menjual peranti 5G.

Dengan bantuan SMIC, Huawei mengubahsuai kelengkapan faundri lama untuk menghasilkan cip teknologi 7nm yang sebelum ini dianggap mustahil dilakukan oleh penganalisa Barat. - Amanz