BEIJING: Masyarakat antarabangsa harus meningkatkan kesungguhan untuk mendorong penyambungan semula rundingan damai antara Palestin dan Israel secepat mungkin, kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang pada sesi terbuka Majlis Keselamatan pada Rabu.

Menurut beliau, China memandang berat situasi keselamatan di Tebing Barat yang kian meruncing dan konflik kekerasan yang semakin parah ketika ini.

"China mengecam semua tindakan kekerasan terhadap rakyat jelata dan menyeru pihak-pihak berkaitan agar mengelakkan daripada mengambil tindakan provokasi dan hasutan yang boleh mengeruhkan lagi ketegangan," kata Geng.

Tambah beliau, Israel wajib mematuhi undang-undang antarabangsa mengenai melindungi keselamatan rakyat di wilayah yang diduduki, memastikan pasukan keselamatan tidak menggunakan kekerasan terhadap penduduk penempatan selain menyiasat secara menyeluruh insiden berkaitan keganasan dan mengenakan tindakan terhadap individu yang terbabit.

Pada masa sama, Geng turut menegaskan bahawa keprihatinan keselamatan Israel yang munasabah juga perlu dipandang serius.

"Palestin dan Israel adalah negara jiran yang tidak boleh dipisahkan, oleh itu, kedua-dua pihak perlu dan hanya boleh memecahkan kitaran keganasan melalui dialog dan kerjasama untuk mencapai keselamatan bersama," kata beliau.

Geng berkata punca konflik Palestin-Israel berulang adalah kerana proses damai Asia Barat yang tergendala dan kegagalan pelaksanaan 'pelan dua negara'.

Beliau turut mengesyorkan masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan praktikal dalam melaksanakan 'pelan dua negara'.

Ia termasuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dalam skala yang lebih besar, lebih berwibawa dan lebih berpengaruh untuk menggalakkan penyambungan semula rundingan damai secepat mungkin.

"Negara yang mempunyai pengaruh penting dalam hal ini harus bertanggungjawab dan memainkan peranan yang membina.

"Majlis Keselamatan PBB juga dikehendaki mengambil tindakan yang bermakna dan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam PBB," kata Geng.

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa demi mewujudkan penyelesaian isu Palestin secara komprehensif, adil dan berkekalan.

-- BERNAMA