China dan Jepun digesa meneruskan dialog secara bersama bagi menyelesaikan isu tuntutan bertindih ke atas Pulau Senkaku atau Dai-Yo.

Ia penting bagi memastikan kedua-dua negara berkenaan mencapai kesepakatan dan mengelak sengketa ketenteraan.

Menurut Pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa, Universiti Kyoto Sangyo, Profesor Dr Kazuhiko Togo, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengulangi pendirian untuk bersikap terbuka dalam mengadakan sebarang rundingan dengan China.

Dalam pada itu, Pengarah Pengajian Antarabangsa, Pertubuhan Kebangsaan China, Victor Zhikai Ghao berpendapat, isu-isu berbangkit sepatutnya diselesaikan secara diplomatik bagi memelihara hubungan antara kedua-dua negara.

Dia berkata demikian semasa Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-27 bertajuk 'Perubahan dan Peralihan Politik di Asia Timur' di ibu negara.

Pulau di Laut China Timur menjadi perebutan Tokyo dan Beijing kerana kedudukan strategiknya yang mampu jadi pusat maritim dan ketenteraan.