ANKARA: Selepas Guangzhou, China pada Selasa turut mengenakan sekatan COVID-19 di bandar lain ketika negara ini melaporkan penularan baharu COVID-19, lapor Agensi Anadolu memetik media kerajaan.

Pihak berkuasa tempatan di bandar Foshan mengumumkan satu siri langkah pencegahan dan kawalan COVID-19 termasuk mengeluarkan arahan duduk di rumah di beberapa kawasan dan larangan keluar kecuali telah disahkan negatif, lapor akhbar Global Times.

Penduduk diminta untuk menjalani kuarantin di rumah dan tidak dibenarkan berhimpun di tempat tertutup seperti panggung wayang dan gimnasium, manakala bar di daerah Chancheng turut ditutup.

Sekatan perjalanan dikenakan di Foshan selepas negeri jiran Guangzhou mengetatkan sekatan berikutan tekanan penularan semula strain baharu.

Foshan melaporkan dua kes COVID-19 dan satu kes tanpa gejala pada Ahad sementara Guangzhou mencatatkan 18 kes pada Isnin, melibatkan strain virus yang dikesan di India.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Nasional, China setakat ini mencatatkan 91,099 kes dan 4,636 kematian, sementara 86,135 orang telah sembuh.