Parti pemerintah Kosovo dahului pilihan raya Parlimen

Albin Kurti bertemu penyokong di Pristina, ibu negara Kosovo, 28 Dis 2025. (Foto AP)
ISTANBUL: Parti pimpinan Perdana Menteri Kosovo Albin Kurti mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya Parlimen awal yang diadakan di negara Balkan itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- Parti Vetevendosje memenangi pilihan raya Parlimen Kosovo dengan 49.62 peratus undi, mengisytiharkan kemenangan terbesar dalam sejarah negara itu, serta berhasrat membentuk kerajaan baharu.
- Vetevendosje perlu mendapatkan sokongan parti komuniti termasuk Parti Demokratik Turki Kosovo (KDTP) untuk membentuk kerajaan baharu, dimana KDTP meraih 0.62 peratus undi.
- Keputusan pilihan raya disambut baik, dengan proses pengundian berjalan lancar tanpa insiden serius, dan 44.99 peratus pengundian dilaporkan, menjadikan 120 ahli Parlimen dipilih untuk tempoh empat tahun.
Beliau berkata sebaik sahaja keputusan muktamad diumumkan, partinya akan membentuk kerajaan baharu dan meneruskan usaha yang telah dimulakan.
Beliau turut menyatakan harapan agar parti-parti pembangkang akan bekerjasama bagi membolehkan perjanjian antarabangsa diluluskan oleh Parlimen.
Kurti kemudian meraikan kemenangan pilihan raya itu bersama penyokongnya di Pristina.
Menurut data yang diterbitkan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Kosovo, Vetevendosje (VV) mendahului dengan 49.62 peratus undi, diikuti Parti Demokratik Kosovo (PDK) dengan 21.17 peratus, Liga Demokratik Kosovo (LDK) sebanyak 13.68 peratus dan Perikatan untuk Masa Depan Kosovo (AAK) dengan 5.71 peratus.
Parti Demokratik Turki Kosovo (KDTP), yang bertanding untuk merebut dua kerusi yang diperuntukkan kepada komuniti Turki Kosovo, memperoleh 0.62 peratus undi atau 5,332 undi.
Untuk membentuk kerajaan baharu, Vetevendosje perlu mendapatkan sokongan parti komuniti, termasuk KDTP yang turut menjadi rakan gabungan dalam penggal sebelum ini.
Menurut penilaian awal, peratusan keluar mengundi dilaporkan sebanyak 44.99 peratus, namun angka itu tidak termasuk undi bersyarat, undi di pejabat perwakilan diplomatik atau undi melalui pos.
Polis Kosovo memaklumkan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius.
Daripada 1,999,204 pengundi berdaftar, seramai 120 ahli Parlimen akan dipilih untuk tempoh penggal selama empat tahun.
Vetevendosje muncul sebagai parti yang memperoleh undi terbanyak dalam tiga pilihan raya umum negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


