China rekod dua hari berturut-turut tiada kes tempatan COVID-19

Kes import dilaporkan meningkat ketika Beijing berusaha mengawal untuk mencegah kebangkitan semula virus itu.

Seorang kakitangan membersihkan hospital sementara yang kini kosong, di Wuhan, dalam wilayah Hubei, China, 8 Mac, 2020. (Foto AP) | Astro Awani
Tanah Besar China merekodkan dua hari berturut-turut tiada sebarang kes jangkitan tempatan COVID-19, pada Khamis.

Bagaimanapun, kes import dilaporkan meningkat ketika Beijing berusaha mengawal keadaan bagi mencegah kebangkitan semula virus itu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, terdapat 67 kes baharu dilaporkan pada lewat Rabu, berbanding hanya 47 pada hari sebelumnya.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di China ketika ini adalah sebanyak 81,285, paling tinggi di dunia setakat ini.

Kesemua pesakit baru adalah pelancong yang datang ke China dari luar negara.

Shanghai melaporkan angka paling tinggi dengan 18 kes, diikuti rantau Inner Mongolia (12 kes) dan wilayah Guangdong (11 kes).

Jumlah kes harian baru terus menurun sejak wabak tersebut mencapai kemuncaknya di negara itu pada Februari, sekali gus membolehkan Beijing memulakan semula aktiviti ekonomi.