BEIJING: China dan Rusia bersedia mendorong hubungan ke tahap lebih tinggi berdasarkan konsensus penting dicapai pemimpin kedua-dua negara.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergey Lavrov yang menghadiri Sidang Menteri Luar Negara Jiran Afghanistan ke tiga di Tunxi, wilayah Anhui, pada Rabu.

Beliau menekankan China sentiasa menyokong multiliteralisme dunia, demokrasi hubungan antarabangsa, melindungi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tertib asas hubungan antarabangsa serta berpendirian objektif dalam hal ehwal antarabangsa.

Menurut Wang, kerumitan isu Ukraine bukan sahaja tercetus daripada percanggahan isu keselamatan Eropah sejak sekian lama, malah akibat daripada pemikiran Perang Dingin dan konfrontasi kumpulan.

"Oleh itu, China menyokong Rusia dan Ukraine mengadakan rundingan damai, menyokong hasil positif yang dicapai melalui rundingan yang telah dilakukan, menyokong krisis diredakan secepat mungkin, menyokong usaha Rusia dan pelbagai pihak terbabit mencegah krisis kemanusiaan.

"Kita perlu mengambil iktibar daripada krisis Ukraine, memberi perhatian terhadap keselamatan pelbagai pihak berdasarkan prinsip saling menghormati dan 'keselamatan yang tidak boleh dipisahkan', sehingga mewujudkan kerangka keselamatan yang seimbang di Eropah, berkesan dan mampan," katanya.

Sementara itu, Lavrov pula menyatakan pihaknya bersama-sama China bersedia melaksanakan konsensus penting untuk dicapai pemimpin kedua-dua negara, meneruskan kerjasama strategik bertaraf tinggi, sekali gus mengintensifkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang.

Pada masa sama, kedua-dua negara akan mendorong proses multilateralisme, menentang hegemoni dan melindungi prinsip Piagam PBB.

"Rusia sedang berusaha meredakan ketegangan situasi melalui rundingan damai dengan Ukraine di samping mengekalkan interaksi dengan masyarakat antarabangsa," tambah Lavrov.

Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan dan menyelaraskan pendirian mengenai hal ehwal melibatkan situasi Asia Pasifik, Semenanjung Korea, BRICK, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Mesyuarat tentang Interaksi dan Tindakan Pembangunan Keyakinan Asia (CICA) dalam perbincangan kali ini.

-- BERNAMA