DUNIA
China tegaskan komitmen jadikan Laut China Selatan laut keamanan, persahabatan dan kerjasama

Laporan menyatakan bahawa China sentiasa berpegang kepada prinsip membangunkan Laut China Selatan sebagai laut yang mencerminkan keamanan, persahabatan dan kerjasama. - Gambar fail Bernama
BEIJING: Institut Xinhua, sebuah badan pemikir yang bernaung di bawah Agensi Berita Xinhua pada Ahad mengeluarkan satu laporan yang menegaskan komitmen China untuk membina Laut China Selatan sebagai laut keamanan, persahabatan dan kerjasama.
Laporan bertajuk "Menjadikan Laut China Selatan Sebagai Laut Keamanan, Persahabatan dan Kerjasama: Tindakan China" dan diterbitkan dalam bahasa Cina serta Inggeris, menyatakan bahawa China sentiasa menjadi penyokong, penggerak dan pelindung yang teguh terhadap keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, lapor Xinhua.
Menurut laporan itu, China berpegang kepada pandangan yang keamanan dan kestabilan perairan itu bergantung kepada usaha bersama antara China dan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Melalui peningkatan kepercayaan dan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan budaya, perkongsian itu mewujudkan manfaat bersama yang berkekalan. Justeru, China muncul sebagai kuasa yang boleh dipercayai dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, sambil memajukan kerjasama dan pembangunan di kawasan itu.Laporan menyatakan bahawa China sentiasa berpegang kepada prinsip membangunkan Laut China Selatan sebagai laut yang mencerminkan keamanan, persahabatan dan kerjasama, berdasarkan rundingan setara, pengurusan bersama berasaskan undang-undang, kerjasama saling menguntungkan, serta peranan yang membina.
Laporan itu turut menggesa China dan negara anggota ASEAN agar memastikan penyelesaian isu Laut China Selatan kekal berada dalam tangan mereka sendiri, berpegang pada prinsip yang betul dan hala tuju yang jelas, serta terus menjunjung konsep komuniti maritim berkongsi masa depan.
China dan negara anggota ASEAN juga diseru bekerjasama untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai laut keamanan, persahabatan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat di rantau ini.
Laporan oleh badan pemikir itu menerima maklum balas positif daripada kalangan pakar, yang menganggapnya sebagai sumbangan akademik penting dalam kajian berkaitan isu Laut China Selatan.
Zhang Jie, felo penyelidik di Akademi Sains Sosial China berkata, laporan itu bukan sahaja menggariskan aspek sejarah tetapi juga merumuskan perkembangan terkini situasi Laut China Selatan serta memperjelas pendirian berprinsip China dan sumbangannya berdasarkan fakta.
Sementara itu, Yang Xiao felo penyelidik dari Institut Hubungan Antarabangsa Kontemporari China berpandangan, laporan itu dengan visi masa depan yang lebih baik, menjelaskan secara kreatif prinsip yang sentiasa dipegang China, yang menjadi asas kepada dialog, kerjasama dan pembangunan yang membina antara China dan ASEAN.
Ma Chao, felo penyelidik bersekutu di Institut Penyelidikan Laluan Sutera Maritim, Universiti Normal Hainan, pula berkata laporan itu sekali lagi menunjukkan komitmen ikhlas China untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, serta membantu masyarakat antarabangsa lebih memahami, menghargai dan menghormati pendirian China terhadap isu Laut China Selatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami