Skip to main content

Dunia

Christine Lagarde umum letak jawatan Presiden Bank Pusat Eropah

Lagarde (foto) akan berundur daripada jawatannya pada 7 Feb 2027 bagi memberi masa kepada pemimpin Kesatuan Eropah (EU) melantik penggantinya sebelum bermulanya pilihan raya presiden Perancis. -Gambar fail/Reuters
Lagarde (foto) akan berundur daripada jawatannya pada 7 Feb 2027 bagi memberi masa kepada pemimpin Kesatuan Eropah (EU) melantik penggantinya sebelum bermulanya pilihan raya presiden Perancis. -Gambar fail/Reuters

Advertisement

FRANKFURT: Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis, sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan sejak beberapa bulan mengenai masa depan beliau ketika Eropah berdepan cabaran ekonomi yang semakin kompleks.

Lagarde akan berundur daripada jawatannya pada 7 Feb 2027 bagi memberi masa kepada pemimpin Kesatuan Eropah (EU) melantik penggantinya sebelum bermulanya pilihan raya presiden Perancis, lapor Reuters.

Keputusan itu dibuat ketika ECB berdepan risiko inflasi susulan kejutan harga minyak akibat konflik yang melibatkan Iran, manakala lonjakan kadar hasil bon kerajaan khususnya di Perancis terus memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi Eropah.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di media sosial, Lagarde berkata beliau meninggalkan institusi berkenaan dengan rasa bangga atas segala usaha yang telah dilaksanakan serta keyakinan bahawa ECB berada dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan.

Sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu berkata peletakan jawatan tersebut memberi ruang kepada beliau untuk terlibat secara lebih aktif dalam hal ehwal politik di Perancis serta di peringkat antarabangsa.

Sebagai Presiden ECB, Lagarde sebelum ini terikat dengan prinsip berkecuali bagi memastikan kebebasan institusi kewangan berkenaan terus terpelihara.

Presiden Majlis Eropah, António Costa berkata proses pemilihan pengganti Lagarde akan dimulakan dengan segera, selaras dengan prosedur pelantikan kepimpinan Kesatuan Eropah.

Bekas Gabenor Bank Pusat Belanda, Klaas Knot, dan bekas Gabenor Bank Sepanyol, Pablo Hernández de Cos, kini dilihat sebagai antara calon utama untuk mengisi kekosongan tersebut.

Penganalisis pasaran berkata reaksi pelabur terhadap pengumuman itu agak terhad, manakala ECB secara berasingan mengekalkan kadar faedah deposit utamanya pada paras 2.5 peratus dalam mesyuarat dasarnya pada Khamis.

Tempoh perkhidmatan Lagarde sepatutnya berakhir pada penghujung Oktober 2027, namun spekulasi mengenai pengunduran awal beliau semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Dalam masa sama, pelbagai pihak turut mengaitkan beliau dengan kemungkinan menyandang peranan baharu di Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Must Watch Video

Advertisement