KUALA LUMPUR: Isu penjagaan golongan rentan bukan lagi sekadar urusan domestik sebuah keluarga sebaliknya diangkat menjadi agenda nasional yang menuntut komitmen kolektif seluruh negara.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam menguruskan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, khususnya persediaan latihan serta persijilan kemahiran mengikut standard amat penting bagi melahirkan penjaga profesional dan diiktiraf, lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang bergerak ke arah status negara menua.
Sehubungan dengan itu, inisiatif Program KENDALI MADANI ialah satu permulaan kepada perubahan yang mengangkat martabat penjaga dan memperkukuh perkhidmatan penjagaan secara holistik.
"Di sebalik setiap insan yang dijaga, ada seorang penjaga yang memberikan masa, tenaga dan kasih sayang. Selama ini, ramai antara mereka berkhidmat tanpa latihan yang mencukupi dan tanpa pengiktirafan.
“KENDALI MADANI menjawab kepada keperluan ini dengan menyediakan latihan dan persijilan kemahiran bagi melahirkan penjaga profesional yang terlatih, kompeten dan diiktiraf,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran KENDALI MADANI dan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof, Pengerusi Yayasan MyPrihatin Datuk Dr Halimaton Hamdan, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Dr Kamaruzaman Md Ali dan Pengerusi KENDALI MADANI Datuk Norashikin Ismail.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata inisiatif yang dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari Penjagaan dan Sokongan Sedunia yang disambut pada 29 Okt setiap tahun itu, turut menyokong kerangka dasar Malaysia Care 2026-2030 serta sasaran kerajaan untuk memfasilitasi persijilan 50,000 penjaga di seluruh negara bagi tempoh 2024 hingga 2030.
Beliau berkata pelaburan dalam melatih penjaga bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup warga emas serta OKU, malah turut meringankan beban emosi dan fizikal keluarga serta membuka peluang kerjaya yang bermaruah.
Program KENDALI MADANI oleh Yayasan MyPrihatin dengan kerjasama Ashikin Holdings Sdn Bhd menyasarkan penyertaan 5,000 peserta menerusi pelaksanaan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun di pelbagai negeri.
Inisiatif ini menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor ekonomi penjagaan melalui pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk laluan persijilan kemahiran berasaskan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) tertakluk kepada syarat JPK.
Pada majlis itu, Yayasan MyPrihatin turut memeterai MoU bersama dengan JPK bagi menjalin kerjasama dalam pembangunan kompetensi dan pensijilan kemahiran pengurusan serta penjagaan OKU.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan watikah kerjasama kepada rakan kolaborasi strategik termasuk lima universiti awam, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
-- BERNAMA