JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) merasmikan operasi loji tenaga solar (PLTS) terapung Cirata berkapasiti maksimum 192 megawatt (MWp) di Purwakarta, Jawa Barat sebagai yang terbesar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di dunia.

"Kita berjaya membina satu daripada loji tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara dan ketiga di dunia," kata presiden itu semasa berucap pada perasmian PLTS Cirata.

Ucapan presiden itu diakses daripada saluran rangkaian Sekretariat Presiden Indonesia pada Khamis, lapor Agensi Berita ANTARA.

Menurut Jokowi, operasi PLTS terapung merupakan kerjasama antara Kementerian Badan Usaha Milik Negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM), syarikat elektrik milik kerajaan PT PLN dan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE), Masdar.

Beliau berkata PLTS terapung itu merupakan satu daripada impian Indonesia untuk membina loji tenaga baharu dan boleh diperbaharui secara besar-besaran.

Presiden berkata, PLTS terapung Cirata menambah kapasiti pengeluaran elektrik sedia ada bagi loji janakuasa hidroelektrik (PLTA) di kawasan tempatan yang mencecah 1,000 megawatt (MW).

"Cirata sudah mempunyai loji kuasa hidroelektrik dengan kapasiti 1,000 MW, yang digabungkan dengan 192 MWp daripada PLTS terapung. Pada masa depan, kita berhasrat untuk menambah lagi 1,000 MWp," kata Jokowi.

Ketua negara itu juga menyambut baik kehadiran PLTS dan PLTA di Cirata yang dijangka menjadi sumber bekalan tenaga hijau.

"Tenaga hidro juga boleh digunakan untuk tenaga hijau. Saya gembira dan berbangga melihat kerja pembinaan PLTS terapung di Cirata telah selesai," katanya.

Presiden percaya Indonesia mampu memanfaatkan potensi tenaga baharu dan boleh diperbaharui daripada beberapa teknologi yang terdapat di negara berkenaan seperti loji tenaga solar dan angin.

"Kita juga mempunyai turbin angin. Bagi mengurangkan cabaran cuaca, kita membina grid pintar untuk mengekalkan bekalan elektrik di tengah-tengah perubahan cuaca," jelas Jokowi.

-- BERNAMA