DUNIA

COP30 bermula di Brazil dengan seruan perpaduan tangani krisis iklim global

Astro Awani 11/11/2025 | 01:45 MYT
Ketua Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Simon Stiell (dua dari kiri), mendengar ucapan Presiden COP30, Andre Correa do Lago (dua dari kanan), semasa sidang media di Sidang Kemuncak Iklim COP30. - Foto AP
BELEM: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30) telah dibuka secara rasmi di bandar Belém, Brazil, dengan pemimpin dunia menyeru perpaduan global untuk menangani krisis iklim yang semakin meruncing.


Ringkasan AI
  • Persidangan COP30 dibuka secara rasmi di Belm, Brazil, dengan seruan pemimpin dunia untuk perpaduan global dalam menangani krisis iklim.
  • Delegasi lebih 50,000 peserta dari 190 negara dijangka hadir selama 12 hari, dengan fokus utama pada peralihan kepada tenaga bersih dan daya tahan komuniti terhadap bencana iklim.
  • Ketua Iklim PBB menegaskan perlunya kerjasama antarabangsa dan tindakan segera untuk memastikan pemanasan global tidak melebihi 1.5C serta menolak penafian iklim sepenuhnya.


Lebih 50,000 peserta dari lebih 190 negara dijangka menghadiri persidangan selama 12 hari itu, yang berlangsung di pintu masuk ke hutan hujan Amazon, simbol penting dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Dalam ucapan pembukaan, Ketua Iklim PBB, Simon Stiell, menegaskan bahawa “tugas anda di sini bukan untuk bertelagah sesama sendiri, tugas anda adalah untuk melawan krisis iklim ini, bersama-sama”.

Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, turut menyampaikan mesej tegas bahawa era tindakan separuh jalan telah berakhir.

Beliau menyeru agar penafian iklim ditolak sepenuhnya dan tindakan segera diambil untuk memastikan sasaran pemanasan global tidak melebihi 1.5°C.

Antara agenda utama COP30 termasuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih, memperkukuh daya tahan komuniti terhadap bencana iklim, dan memperluas kerjasama antarabangsa dalam pembiayaan iklim.

Delegasi dari negara membangun menekankan keperluan sokongan kewangan dan teknologi daripada negara maju untuk mencapai sasaran iklim yang adil dan berkesan.

Persidangan ini dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha global mengekang kesan perubahan iklim, dengan tekanan tinggi terhadap negara-negara pengeluar karbon utama untuk memperbaharui komitmen mereka.






#COP30 #krisis iklim #hutan hujan amazon #persidangan