KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa Hong Kong akan melupuskan kira-kira 2,000 haiwan kecil termasuk hamster selepas virus COVID-19 dikesan pada haiwan terbabit dalam saringan yang dijalankan di bandar raya itu.

Langkah itu diambil susulan seorang pekerja di sebuah kedai haiwan peliharaan didapati positif varian Delta COVID-19, mendorong ujian dilakukan terhadap ratusan haiwan yang mana 11 sampel hamster menunjukkan keputusan positif, pada Selasa.

Memetik laporan agensi, Jabatan Agrikultur, Perikanan dan Konservasi Hong Kong berkata, penjualan haiwan-haiwan peliharaan seperti hamster dan mamalia kecil tidak dibenarkan untuk sementara waktu.

"Beberapa hamster yang diimport dari Belanda yang dijual di kedai yang sama turut disahkan positif COVID-19.

"Terdapat kebarangkalian virus berkenaan telah menjangkiti manusia melalui haiwan-haiwan terbabit," kata pengarahnya Leung Siu Fai.

Oleh itu, beliau menasihati pemilik haiwan peliharaan di bandar itu untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau kebersihan diri, mencuci tangan dan tidak mencium haiwan peliharaan.

"Walaupun tiada bukti yang mengesahkan bahawa virus COVID-19 disebarkan oleh haiwan peliharaan terhadap manusia, namun perlu ada langkah waspada.

"Pelanggan-pelanggan yang telah membuat pembelian di kedai berkenaan sebelum 7 Januari akan dikesan dan diarahkan menjalani kuarantin wajib," tambahnya lagi.

Mereka, dalam masa sama turut diarahkan untuk menyerahkan hamster yang dibeli untuk dilupuskan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, pihak berkuasa Hong Kong mengarahkan semua kedai haiwan peliharaan di bandar raya itu menghentikan operasi dan akan melupuskan sekitar 2,000 haiwan peliharaan yang kebanyakannya terdiri daripada hamster serta mamalia kecil yang lain.

Prosedur itu dilaporkan akan dilakukan mengikut prosedur dan dengan berperikemanusiaan.