KETIKA Sukan Paralimpik Tokyo sedang berlangsung mulai hari ini hingga 5 September, Jepun kini memperluaskan perintah darurat di negara itu.

Terbaharu, lapan lagi daerah dikenakan perintah darurat bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat di negara matahari terbit berkenaan.

Ia menjadikan 21 daripada 47 daerah di Jepun dikenakan perintah itu.

Antara daerah terkesan termasuk ibu negara, Tokyo, yang dikenakan perintah darurat sehingga 12 September.

Kata pegawai tertinggi Jepun, ia selepas varian Delta menular begitu pantas yang menjejaskan sistem kesihatan negara itu.

Perintah darurat itu juga dikenakan di Hokkaido, Aichi, Hiroshima dan lima wilayah lain yang merangkumi kepulauan Jepun, dari Jumaat hingga 12 September.

Pada Isnin, kes COVID-19 baharu mencecah 16,842 kes harian dengan 32 kematian.

Secara keseluruhannya, Jepun catat 1.323 juta kes dengan 15,681 kematian.

Kadar kematian di Jepun adalah 1.2 peratus, berbanding Amerika Syarikat pada kadar 1.7 peratus serta United Kingdom pada 2.0 peratus.

Namun, penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) kini mencecah 90 peratus.