Brazil mencatatkan jumlah kematian dan kes positif koronavirus tertinggi dalam satu hari.

Menurut Kementerian Kesihatannya pada Selasa, Brazil merekodkan 1,179 lagi kematian dalam 24 jam menjadikan angka korban negara itu kepada 17,971.

Brazil juga mencatatkan 17,408 lagi kes COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di negara itu kini melebihi 271,628.

Peningkatan kes dan kematian ini merupakan lonjakan tertinggi dalam sehari sejak Brazil mengesahkan kes pertama pada Februari, lapor CNN.

Negeri Sao Paulo sahaja melaporkan 324 kematian dalam 24 jam terakhir.

Semalam, Brazil menjadi negara dengan jumlah kes koronavirus ketiga tertinggi di dunia, di belakang AS dan Rusia.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam pada itu mengumumkan bakal mempertimbang larangan perjalanan ke atas negara Amerika Latin, khususnya Brazil.