Singapura melaporkan 359 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu, dengan kebanyakannya melibatkan pekerja warga asing yang tinggal di asrama.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan tengah hai ini, Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan terdapat satu kes komuniti melibatkan pemegang pas pekerja dan dua kes import yang telah dikenakan Notis Duduk Di rumah, semasa tiba di negara itu.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah jangkitan di republik berkenaan kini mencecah 51,197 kes.

Berdasarkan data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 686 kes import, 2,167 kes komuniti dan 47,985 penghuni asrama.

Sehingga tengah hari semalam, 45,692 atau 90 peratus daripada keseluruhan kes telah sembuh daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Masih terdapat 179 kes yang dirawat di hospital dengan kebanyakan pesakit dalam keadaan stabil atau semakin baik dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Seramai 4,940 pesakit yang mempunyai simptom atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 di sini.

Satu kluster baharu dikenal pasti semalam, iaitu sebuah asrama di 6 Sungei Kadut Street 2.

-- BERNAMA