Taman tema Disneyland Shanghai dibuka semula pada Isnin setelah hampir tiga bulan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan COVID-19.

Perintah penjarakan sosial serta kerja-kerja pembersihan dilaksanakan di taman tema itu supaya dapat mengelak jangkitan wabak berkenaan.

Jumlah pengunjung yang dibenarkan memasuki Disneyland turut telah dihadkan pada kadar 30 peratus daripada kapasiti pengunjung yang biasa diterima, iaitu selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini menjadi langkah signifikan buat syarikat Walt Disney Co yang terkesan apabila terpaksa menutup semua taman tema di Asia, Amerika Syarikat dan Perancis.

Apabila jualan tiket dilancarkan pada Jumaat, tiket kemasukan buat hari-hari pertama pembukaan Disneyland berjaya habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Minggu lepas, eksekutif-eksekutif Disney menganggarkan kerugian sebanyak AS$1.4 bilion (kira-kira RM6.1 bilion) yang terpaksa ditanggung akibat penutupan premis di serata dunia.