KESATUAN Eropah (EU) pada Selasa menggesa 'ketelusan' daripada syarikat pengeluar vaksin COVID-19.

Pada masa sama, blok itu turut memberi amaran kepada syarikat gergasi farmasi yang membangunkan vaksin itu supaya mematuhi kewajipan kontrak mereka.

Ia susulan kelewatan penghantaran vaksin oleh dua syarikat, yang menjejaskan pelancaran program vaksin di beberapa negara anggota EU.

Jurucakap EU, Eric Mamer berkata, blok itu telah melabur dalam syarikat-syarikat pembuat vaksin tersebut untuk memastikan bahawa mereka menerima dos vaksin diperlukan secepat mungkin.

"Perkataan yang penting di sini ialah: ketelusan. Ini bukan tentang blok. Ini ialah tentang mengetahui apa yang sedang atau akan dieksport syarikat-syarikat kepada pasaran di luar EU.

"Ia bukan berdasarkan kontrak semata-mata. Ini ialah tentang apa yang EU boleh laksanakan, seperti yang dilakukan dalam konteks lain sebelum ini.

"Dan ia bagi membolehkan pihak berkuasa kerajaan dan orang awam tahu apa yang syarikat-syarikat ini pasarkan," katanya.

Pada Isnin, EU mengecam syarikat farmaseutikal AstraZeneca kerana kegagalan menghantar bekalan vaksin tanpa penjelasan yang sah.

Blok itu turut kurang senang dengan syarikat Pfizer-BioNTech disebabkan penangguhan penghantaran vaksin.

Susulan itu, EU mengancam akan menguatkuasakan kawalan eksport yang ketat terhadap semua vaksin koronavirus yang dihasilkan untuk blok tersebut, bagi memastikan syarikat menghormati komitmen mereka.

"Kesatuan Eropah telah melaburkan sejumlah wang dalam syarikat-syarikat ini untuk memastikan ia dapat menerima dos yang difikirkan perlu untuk kempen vaksinasinya, bukan pada waktu tertentu, tetapi secepat mungkin, selepas kebenaran pemasaran bersyarat telah diperolehi.

"Dan ini yang sedang kita usahakan. Dan, jika kami lihat sesebuah syarikat itu sedang mengedarkan vaksinnya, sudah tentu kami berhak bertanya sekiranya tiba-tiba kami dimaklumkan tidak dapat vaksin sebanyak mana yang kami minta," kata Mamer pada satu taklimat.