KERAJAAN Greece mengenakan sekatan yang lebih ketat terhadap mereka yang enggan menerima vaksin bermula Sabtu.

Ia susulan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Mereka yang enggan menerima vaksin diwajibkan untuk membuktikan keputusan ujian saringan negatif sebelum memasuki semua premis awam.

Ia termasuk bank, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan salun rambut.

Arahan sama diperuntukkan untuk memasuki restoran dan kafe.

Namun, pengeculian hanya akan diberikan untuk memasuki pasar raya, kedai makanan, farmasi dan tempat ibadah.

Kesemua pekerja awam dan swasta daripada kumpulan ini juga perlu membuktikan keputusan ujian negatif sekurang-kurangnya dua kali seminggu sebelum memasuki bangunan.

Untuk memastikan arahan ini dipatuhi, pemantauan secara berkala akan dipergiatkan dengan kompaun dinaikkan kepada AS$5,800 sekiranya ingkar arahan.

Untuk rekod, 61 peratus keseluruhan populasi Greece sudah melengkapkan vaksinasi.

Ketika ini, pihak berkuasa kesihatan sedang mempergiatkan pemberian dos penggalak.