UNITED Kingdom sudah mengedarkan hampir 40 juta dos vaksin COVID-19 kepada penduduk di negara itu.

Ia selepas pertambahan sebanyak 586,339 dos vaksin yang diberi pada Ahad.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 32.12 juta orang sudah menerima suntikan vaksin dos pertama manakala 7.47 juta yang lain sudah melengkapkan dos kedua.

Data juga menunjukkan, UK mencatatkan penurunan kes baharu COVID-19 dengan 1,730 kes positif pada Ahad, berbanding 2,589 pada hari sebelumnya.

Sementara itu, tujuh kematian baharu dicatatkan, penurunan berbanding 40 pada hari sebelumnya.

Kerajaan menyatakan pihaknya merancang memberikan suntikan pertama kepada semua penduduk dewasa menjelang akhir Julai ini.

Program vaksinasi di UK berjalan lancar sejak dimulakan pada awal Disember, sebagai negara pertama di dunia yang memulakan proses suntikan besar-besaran.