Empat wabak selesema burung dikesan di Madrid, tiada ancaman pada manusia

Pihak Berkuasa Sepanyol mengesahkan penularan wabak selsema burung apabila lebih 100 bangkai burung bangau ditemui dan diperiksa sejak 24 jam terakhir. - Foto Agensi
PIHAK berkuasa Sepanyol mengesan sekurang-kurangnya empat wabak selesema burung melibatkan burung liar di wilayah Madrid.
Penemuan ini dibuat selepas ratusan bangkai burung jenis bangau ditemui sejak beberapa minggu lalu, termasuk lebih 100 ekor dalam tempoh 24 jam terakhir.
Jelas Ketua Operasi Perhutanan Madrid, Miguel Higueras Ortega dalam satu kenyataan, pihak berkuasa memantau situasi dengan teliti namun menegaskan tiada ancaman besar terhadap manusia.
“Berdasarkan perkembangan wabak di Sepanyol dan Eropah, tiada risiko besar terhadap kesihatan manusia kerana sehingga kini tiada kes penularan kepada manusia direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Madrid, semalam.
Beliau menambah, buat masa ini, wabak tersebut tidak menimbulkan ancaman terhadap alam sekitar.
Bagaimanapun, Ortega mengingatkan bahawa wabak ini adalah sebahagian daripada peningkatan kes selesema burung yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Eropah.
Selain itu, laporan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah menyatakan ribuan kes selesema burung melibatkan burung liar telah dilaporkan di 29 negara sepanjang musim ini.
“Situasi ini menunjukkan lonjakan kes yang luar biasa dan memerlukan pemantauan berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, Ortega memaklumkan bahawa burung bangau yang merupakan spesies migrasi dari Eropah Utara dipercayai menjadi pembawa virus berkenaan.
“Burung migrasi ini berpotensi membawa virus ke kawasan baharu, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit.”
Untuk rekod, selesema burung berpatogen tinggi sebelum ini telah menyebabkan ratusan juta ternakan ayam dihapuskan di seluruh dunia, menjejaskan bekalan makanan global dan meningkatkan harga pasaran. Bagaimanapun, kes jangkitan kepada manusia kekal jarang berlaku.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


