HOSPITAL di New York pada Khamis memulakan pemberian suntikan vaksin COVID-19 dos pertama kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Sasaran Amerika Syarikat pada minggu ini adalah program vaksinasi pelajar sekolah, susulan fasa baharu vaksinasi COVID-19 yang menumpukan kepada mengekang kematian, kemasukan ke hospital dan kelancaran sistem pendidikan.

Pegawai kesihatan berkata, bekalan vaksin mencukupi untuk melindungi 28 juta kanak-kanak di negara ini yang berumur 5-11 tahun.

Vaksin dos rendah yang diterima golongan ini memerlukan dua dos suntikan dengan selang masa tiga minggu.

Justeru, kanak-kanak yang mendapat vaksin sebelum sambutan hari kesyukuran atau Thanksgiving akan dilindungi sepenuhnya menjelang perayaan Krismas.

Presiden Joe Biden sebelum ini berkata, bekalan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Amerika Syarikat adalah mencukupi menjelang minggu depan.

Jelas beliau, dos vaksin tersebut tersedia di 20,000 lokasi di seluruh negara.