Lelaki Thailand didakwa edar 331kg dadah bernilai hampir RM11 juta

Tertuduh warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar 331 kilogram dadah bernilai hampir RM11 juta. - Foto Bernama
JITRA: Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 331 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM11 juta, awal bulan ini.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar 331kg dadah bernilai hampir RM11 juta di Durian Burung, Daerah Padang Terap.
- Tertuduh juga mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya di IPD Padang Terap, mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
- Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 April dan lantik jurubahasa bahasa Thailand bagi tertuduh.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam perkembangan lain, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, pada 9.25 malam, hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan jurubahasa bahasa Thailand.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


