NEW DELHI: India meluluskan penggunaan vaksin COVID-19, Sputnik V, buatan Rusia ketika negara itu sedang berdepan dengan peningkatan kes.

Perkara itu disahkan Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF), pada Isnin.

India mengatasi Brazil untuk menjadi negara kedua tertinggi di dunia kes jangkitan virus berkenaan selepas Amerika Syarikat, susulan gelombang kedua dihadapinya.

Setakat ini India telah memberikan sekitar 105 juta dos vaksin daripada 1.4 bilion penduduknya.

RDIF yang bertanggungjawab memasarkan vaksin ke luar negara, mengatakan bahawa Agensi Dadah India (DCGI) telah bersetuju penggunaan Sputnik V.

India, negara yang merupakan negara kedua paling ramai penduduk di dunia, menjadi negara ke-60 mendaftarkan Sputnik V setelah mendapat keputusan positif kajian klinikal fasa tiga tempatan. 

RDIF telah menandatangani perjanjian untuk menghasilkan lebih daripada 750 juta dos Sputnik V di India dengan enam syarikat domestik.

India setakat ini menggunakan dua vaksin, iaitu dibangunkan oleh AstraZeneca dan Oxford University serta firma domestik Bharat Biotech.

Sputnik V, yang dikembangkan oleh Institut Gamaleya Moscow mempunyai tahap 91.6 peratus berkesan terhadap COVID-19.