JAKARTA: Indonesia melanjutkan sekatan pergerakan COVID-19 selama seminggu sehingga 2 Ogos dalam usaha mengekang jangkitan.

Kerajaan juga menyatakan akan menambah unit rawatan rapi (ICU) susulan peningkatan kes kematian akibat virus berkenaan.

Indonesia menjadi pusat wabak COVID-19 Asia dengan sistem kesihatannya semakin kritikal apabila oksigen di Pulau Jawa dan Bali kehabisan bekalan oksigen.

Presiden Joko Widodo mengucapkan terima kasih kepada rakyatnya dalam memberi sokongan terhadap sekatan yang dikuatkuasakan selama 23 hari.

Katanya jangkitan wabak COVID-19 dan kemasukan ke hospital menurun namun tidak memperincikan sebarang data.

Walaupun sekatan dilanjutkan namun prosedur operasi standard (SOP) baharu diterapkan dalam sekatan kali ini.

Jokowi berkata, kerajaan akan secara beransur menyelaraskan beberapa sekatan dengan membenarkan pasar tradisional dan restoran dibuka semula namun dengan beberapa sekatan seperti 20 minit waktu makan.

Beberapa perniagaan seperti kedai pendandan rambut dan bengkel kenderaan juga dibenarkan dibuka semula.

Menteri Kanan, Luhut Pandjaitan berkata, sekatan dengan SOP baharu itu akan dikuatkuasakan di 140 wilayah seluruh Indonesia.

Sekatan akan dikurangkan di kawasan-kawasan dianggap selamat termasuk membenarkan pusat membeli-belah dibuka dengan kapasiti 25 peratus dan kilang-kilang beroperasi dengan had tertentu.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, Indonesia akan membenarkan cukai nilai tambah percuma kepada penyewa pusat membeli-belah yang terkesan teruk untuk sewa bulan Jun hingga Ogos.

Kurang daripada 7 peratus populasi Indonesia daripada keseluruhan 270 juta telah divaksinasi sepenuhnya.