Seorang wanita positif COVID-19 menggunakan aplikasi FaceTime untuk mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya yang meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Marini Smith dan anak perempuannya dari Michigan, Amerika Syarikat (AS) dilarang hadir ke hospital dan menghadiri pengebumian suaminya, Rayshone Smith kerana terpaksa dikuarantin, lapor portal 9News.

"Saya rasa dia ada di sana untuk semua orang dan saya merasakannya - tiada siapa yang boleh berada di sana untuknya," katanya.

Dalam tiga minggu kebelakangan ini, Marini, bapanya dan saudara lelakinya didapati positif virus itu.

"Semua di dalam keluarga mula menunjukkan gejala seperti selesema. Tidak sangka mungkin dijangkiti COVID-19 tetapi saya tidak berasa begitu sihat. Suami saya pula mengalami demam panas," ujarnya.

Kali terakhir pasangan berkenaan bertemu ialah selepas membuat pemeriksaan di hospital pada 16 Mac lalu.

"Mereka kata saya tidak boleh berada di hospital dan saya dengan anak diminta keluar (dari hospital).

"Kami menanti di dalam kereta sehingga tertidur sebelum dimaklumkan Rayshone terpaksa ditahan di wad," jelasnya.

Kata Marini, seorang jururawat memberi telefon bimbitnya kepada suaminya dan memintanya untuk menghubunginya dan mengucapkan selamat tinggal.

"Jururawat itu bersimpati dan menggunakan aplikasi FaceTime untuk bercakap. Ia tindakan yang sangat baik daripada jururawat itu.

"Saya tanya kepada Rayshone, adakah dia takut, dia kata ya. Semua orang tahu suami saya tidak pernah takut kepada apa-apa tetapi kali ini dia memang sangat takut," katanya.

Tujuh hari kemudian, Rayshone meninggal dunia.

"Dia pergi ke hospital pada hari Isnin dan dia meninggal pada hari Isnin berikutnya," katanya.

Marini dan anak perempuannya menonton pengebumian suaminya melalui telefon bimbit.

"Saya terpaksa membuat keputusan untuk menjaga diri dan anak perempuan di rumah (kerana) kami tidak mahu ada pengebumian lain.

"Saya melakukan segala yang dapat untuk menjaga diri dan keluarga. Apabila ini berakhir nanti, kami akan pergi kepada seseorang, menjerit, menangis dan saling berpegang serta akan melawat dia (mendiang suaminya)," ujarnya.