PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan lonjakan mendadak kes jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di India baru-baru ini sebagai "kekecewaan yang luar biasa."

Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, susulan itu, agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tersebut telah menghantar bekalan oksigen dan keperluan kritikal lain ke negara itu.

"Apa yang berlaku di India sangat mengecewakan. WHO melakukan apa yang terdaya, termasuk menyediakan bantuan peralatan kritikal, ribuan tong oksigen, membuka hospital di lapangan dan membekalkan barangan makmal.

"Seperti yang saya katakan pada Jumaat, WHO telah mengerahkan lebih 2,600 kakitangannya ke India, bagi membantu pihak berkuasa mengawal penularan, termasuk dalam aspek pemantauan dan vaksinasi," katanya.

Bercakap pada sidang media di Geneva pada Isnin, beliau berkata, angka kematian berkaitan virus tersebut meningkat untuk enam minggu berturut-turut di peringkat global.

Pada masa sama, kes jangkitan turut meningkat untuk sembilan minggu berturut-turut.

"Jumlah kes di seluruh dunia minggu lalu sama banyaknya dengan angka yang direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama wabak ini mula merebak," katanya.