BERLIN: Kementerian Kesihatan Jerman menegaskan akan berusaha untuk menyekat peningkatan kes harian COVID-19 di negara itu melalui sekatan dikuat kuasakan dan memperhebatkan program vaksinasi.

Menterinya, Karl Lauterbach, menjelaskan usaha kerajaan ketika ini adalah mengurangkan penularan varian Omicron.

"Matlamatnya ketika ini adalah untuk utamakan perkara yang tidak dapat dielakkan, iaitu peningkatan kes Omicron dan mengurangkannya bagi melalui tempoh gelombang ini dengan kadar kematian yang rendah.

"Apa yang kita lihat setakat ini, sekatan yang dilaksanakan juga menunjukkan kesan yang dijangka, namun masih belum masanya untuk tidak amalkan langkah berjaga-jaga," katanya.

Malah beliau menyifatkan keadaan pandemik di negara itu ketika ini adalah tempoh sukar.

Beliau pada masa sama mengulangi pendirian kepentingan mandat vaksinasi di negara itu.

Jelasnya, beliau menyokong vaksinasi perlu diteruskan, dan ia boleh diberi kepada individu berusia 18 tahun ke atas.