JUMLAH individu yang sudah menerima vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya satu dos, kini melebihi bilangan kes jangkitan di seluruh dunia.

Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhenom Gebreyesus, ia satu perkembangan yang baik dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Dr Tedros memaklumkan, tiga perempat mereka yang menerima vaksin itu adalah daripada kalangan 10 negara sahaja.

Beliau menegaskan, banyak lagi negara yang memerlukan perhatian untuk menamatkan penularan jangkitan virus itu.

“Secara global, jumlah mereka yang divaksin kini telah melebihi jumlah jangkitan COVID-19. Ini merupakan berita yang baik dan bermakna dalam jangka masa yang pendek ini.

“Namun, lebih tiga perempat mereka yang divaksin ini melibatkan 10 negara sahaja, yang mempunyai purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 60 peratus di peringkat dunia.

"Hampir 130 negara dengan 2.5 bilion populasi masih belum menerima walau satu dos pun,” katanya di Geneva pada Jumaat.

Jelas beliau, semakin lama masa yang diambil untuk memvaksin, semakin banyak risiko untuk kewujudan mutasi baharu dan penularan jangkitan.

Dr Tedros turut meminta negara-negara berpendapatan tinggi yang memiliki stok vaksin untuk menyumbangkan kepada negara membangun setelah populasi mereka yang berisiko tinggi selesai disuntik.

Jelasnya, dengan meninggalkan mereka yang berisiko tidak divaksin, ia akan memburukkan lagi keadaan sedia ada.