BERLIN: Dengan hampir 4,000 pesakit COVID-19 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), hospital di Jerman kini hampir mencecah kapasiti penuh.

Pada Khamis, sebuah helikopter dilihat membawa pesakit ICU dari timur Jerman, Thuringia ke hospital yang terletak di Hannover kerana dipercayai tiada kekosongan katil untuknya.

Tentera Udara Jerman juga telah menyediakan dua pesawat Medevac khusus bagi membawa pesakit yang memerlukan rawatan ICU ke kawasan yang mempunyai katil yang tersedia.

Pada Khamis, Saxony menjadi negeri pertama di Jerman yang merekodkan jumlah kes mingguan melebihi 1,000 bagi setiap 100,000 penduduk.

Pegawai kesihatan memaklumkan, 68.1 peratus daripada 83 juta penduduk Jerman telah diberi vaksin sepenuhnya, jauh di bawah paras minimum 75 peratus yang disasarkan kerajaan.