Penasihat COVID-19 di White House, Dr Anthony Fauci menyatakan kemungkinan para saintis menghasilkan vaksin yang sangat berkesan dan mampu memberikan perlindungan sehingga 98 peratus atau lebih, adalah tipis.

Para saintis berharap vaksin yang dihasilkan nanti akan berkesan sehingga sekurang-kurangnya 75 peratus, tetapi jika ia berkesan di tahap 50 atau 60 peratus juga sudah cukup baik, kata Fauci seperti dipetik CNN.

"Kemungkinan ia berkesan sehingga 98 peratus adalah agak mustahil. Kerana itu adalah penting untuk orang awam sentiasa mematuhi prosedur operasi standard kesihatan.

"Vaksin berfungsi supaya virus itu bukan lagi satu pandemik, sebaliknya sudah boleh dikawal," katanya yang merupakan Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional, semasa sesi soal jawab dengan Fakulti Kesihatan Awam, Brown University.

Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) sebelum ini memaklumkan mereka akan meluluskan apa sahaja vaksin yang dihasilkan selagi ia selamat dan dan mempunyai tahap keberkesanan sehingga 50 peratus.

Dr Stephen Hahn, Pesuruhjaya FDA, mengatakan ada kemungkinan AS boleh menghasilkan vaksin yang mengurangkan risiko seseorang mendapat jangkitan COVID-19 sehingga 50 peratus.

"Kami sedang usahakan," kata Hahn, sambil memaklumkan kemungkinan itu masih menjadi perdebatan dalam kalangan saintis dan pengamal perubatan.