Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 91 juta kes.

Ia berikutan lebih ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas sekali gus menjadikan kes kumulatif global menjadi 91.3 juta kes.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 22.7 juta kes.

Ini diikuti India dengan 10.47 juta kes dan Brazil dengan 8.13 juta kes.

Angka positif di Rusia kini melangkaui 3.41 juta kes.

Manakala negara yang melepasi angka 3 juta kes adalah United Kingdom sementara Perancis, Turki, Itali dan Sepanyol melebihi 2 juta kes.

Jerman, Colombia, Argentina, Mexico, Poland, Iran, Afrika Selatan, Ukraine dan Peru pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Belanda, Indonesia, Romania, Belgium, Kanada, Chile, Iraq, Bangladesh, Sweden dan Pakistan pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Negara dalam lingkungan 300,000 sehingga 500,000 kes termasuk Filipina, Switzerland, Maghribi, Portugal, Austria, Arab Saudi, Serbia, Hungary dan Jordan.

Sejumlah 39 negara lain merekodkan angka positif di antara 100,000 dan 300,000 kes termasuk Malaysia.



Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini melebihi 1.95 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 378,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 200,000 kes, India dan Mexico pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk United Kingdom, Itali, Perancis, Rusia, Iran dan Sepanyol.

Manakala negara yang merekodkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian ialah Colombia, Argentina, Jerman, Peru dan Afrika Selatan.

Indonesia, Turki dan Ukraine pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.