KES positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi angka 123.5 juta dengan peningkatan hampir 500,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Data Johns Hopkins University menunjukkan, setakat ini, 123,531,524 kes positif COVID-19 direkodkan dan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 29.86 juta kes.

Ia diikuti Brazil dengan 12 juta kes dan India dengan lebih 11.6 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka 4 juta kes ialah Rusia, United Kingdom dan Perancis sementara Itali, Sepanyol dan Turki melebihi 3 juta.

Jerman, Colombia, Argentina, Mexico dan Poland mencatat lebih 2 juta kes.

Iran, Ukraine, Afrika Selatan, Indonesia, dan Belanda pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Kanada, Chile, Romania, Belgium, dan Portugal pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Negara lain merekodkan angka positif di bawah 500,000 kes.

Statistik korban global akibat COVID-19 turut meningkat kepada 2.72 juta kes.

Ia peningkatan hampir 1,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan AS masih menjadi negara tertinggi merekodkan kematian iaitu 542,818 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 294,000 kematian, Mexico (198,036) India (159,967) United Kingdom (126,410) dan Itali (105,328).

Kes kematian di Rusia dan Perascis kini melebihi 90,000 kes manakala Jerman dan Sepanyol melebihi 70,000 kes.