JUMLAH kes harian positif COVID-19 global kembali menunjukkan peningkatan selepas merekodkan lebih 400,000 kes baharu.

Ini menjadikan jumlah kumulatif global kini melepasi 124 juta kes.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dengan hampir 30 juta kes.

Ini diikuti Brazil dengan 12.13 juta kes dan India dengan lebih 11.73 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka 4 juta kes ialah Rusia, United Kingdom (UK) dan Perancis.

Sementara itu, Itali, Sepanyol dan Turki mencatatkan angka melebihi 3 juta.

Jerman, Colombia, Argentina, Mexico dan Poland pula mencatat lebih 2 juta kes.

Iran, Ukraine, Afrika Selatan, Indonesia, dan Belanda pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Kanada, Chile, Romania, Belgium, dan Portugal pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Maghribi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, dan Malaysia.

Negara lain merekodkan angka positif antara 100,000 dan 300,000 kes.



Sementara itu, lebih 8,000 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kematian kini melepasi 2.73 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 544 ribu kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 298,000 kes, Mexico, India dan United Kingdom pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Itali, Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol, Colombia, Iran, Argentina dan Afrika Selatan.

Manakala negara yang mencatatkan di antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian ialah Peru, Poland, Indonesia dan Ukraine.

Selain itu, Turki, Czechia, Belgium dan Kanada pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.