JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19  global kini melepasi 132.77 juta kes, berikutan pertambahan lebih 500,000 kes dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan lebih 30.9 juta kes diikuti Brazil dan India dengan masing-masing merekodkan 13.10 juta kes dan 12.80 juta kes.

Manakala negara yang melebihi angka empat juta kes adalah Perancis, Rusia dan United Kingdom, sementara Itali, Turki dan Sepanyol melebihi tiga juta.

Jerman, Poland, Colombia, Argentina dan Mexico mencatat lebih dua juta kes, sementara Iran, Ukraine, Peru, Afrika Selatan, Indonesia dan Kanada pula antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Manakala Romania, Belgium, Iraq, Portugal dan Sweden pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 300,000 kes.


Jumlah kumulatif kes positif COVID-19  global kini melepasi 132.77 juta kes.


Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia turut mencatatkan peningkatan selepas merekodkan lebih 9,000 kematian menjadikan jumlah kumulatif kematian kini melebihi 2.88 juta kes.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 558,000 ribu kes diikuti Brazil dengan lebih 336,000 kes dan Mexico dengan lebih 205,000 kes.

Manakala India, United Kingdom dan Itali pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Negara yang merekodkan angka korban melebihi 50,000 kes termasuk Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Colombia termasuk Iran, Argentina, Afrika Selatan, Poland dan Peru.

Manakala negara yang mencatatkan antara 30,000 hingga 50,000 kes kematian adalah Indonesia, Ukraine dan Turki.
Kebanyakan negara lain merekodkan angka korban di bawah 20,000 kes.