HONG KONG menggantung sesi persekolahan sekolah rendah selepas bandar itu mencatatkan peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kesihatan, Sophia Chan memaklumkan, kelas untuk pelajar tahun 1 hingga 3 akan ditangguhkan selama dua minggu bermula Isnin.

Beliau menggambarkan situasi di Hong Kong semakin teruk dengan 26 jangkitan baharu disahkan pada Jumaat dan 21 kes daripadanya merupakan kes tempatan.

Ia mewujudkan kembimbangan bandar bakal berdepan gelombang keempat penularan COVID-19.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya mempertingkat langkah keselamatan bagi pengembara yang memasuki Hong Kong.

"Dalam tempoh seminggu ini, kami telah memperketat langkah keselamatan, termasuk pengendalian sempadan, tindakan, kuarantin, pengaturan hotel dan juga beberapa langkah penjarakan sosial," katanya.

Dalam pada itu Hong Kong dijangka melancarkan gelembung perjalanan udara (ATB), dengan Singapura pada Ahad.

Buat masa ini, perjanjian ATB antara Hong Kong dan Singapura masih berjalan untuk tempoh tujuh hari walaupun terdapat kemungkian ia ditangguhkan sekiranya angka jangkitan di kedua-dua negara melebihi lima kes.