BRITAIN pada Isnin melaporkan jumlah kes COVID-19 baharu paling rendah sejak 4 Julai lalu.

Jumlah kes baru turun enam hari berturut-turut, kepada 24,950 pada Isnin, daripada 29,173 pada hari Ahad.

Ini memberi petanda bahawa lonjakan jangkitan baharu yang disebabkan penularan varian Delta mungkin telah mencapai puncaknya.

Jumlah kes baharu dalam tempoh seminggu yang lalu, iaitu lebih satu perempat juta, adalah lebih rendah daripada minggu sebelumnya.
 
Britain menjadi perhatian pakar kesihatan dan pasaran kewangan sejak kebanyakan sekatan pergerakan dimansuhkan di England pada 19 Julai.

Kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson menilai bahawa risiko gelombang besar kematian atau kemasukan ke hospital adalah rendah disebabkan kadar vaksinasi tinggi walaupun tidak sepenuhnya menghentikan jangkitan baharu.

Bagaimanapun, perniagaan melaporkan ketidakhadiran meluas pekerja yang diminta untuk menjalani kuarantin kerana kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

Data pada Isnin menunjukkan 14 kematian baharu, turun daripada 28 kematian pada Ahad, yang merupakan jumlah terendah sejak 12 Julai.

Terdapat 445 kematian dalam tujuh hari terakhir, 50% lebih banyak daripada minggu sebelumnya.

Kira-kira 46.589 juta orang di United Kingdom telah menerima satu dos vaksin dan 37.287 juta, atau lebih 70% populasi dewasa, lengkap suntikan vaksin.