Berikutan krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19, lebih 86 juta kanak-kanak akan hidup dalam kemiskinan hujung tahun ini, menurut kajian bersama Pergerakan Save The Children dan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF).

Menurut kedua-dua pertubuhan itu dalam satu kenyataan pada Rabu, kajian berkenaan menunjukkan terdapat peningkatan 15 peratus berbanding tahun lalu, lapor AFP.

Peningkatan itu, katanya, menjadikan jumlah kanak-kanak yang terjejas disebabkan kemiskinan di seluruh dunia adalah sebanyak 672 juta.

Dalam pada itu, berdasarkan data penduduk membabitkan sekitar 100 negara, kajian juga mendapati bahawa kira-kira dua pertiga daripada kanak-kanak terbabit tinggal di Afrika sub-Sahara dan Asia Selatan.

Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore berkata skala dan kedalaman kesulitan kewangan dalam kalangan keluarga mengancam perkembangan kemajuan dalam mengurangkan krisis kemiskinan kanak-kanak.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Save The Children, Inger Ashing, berkata pandemik itu akan terus meningkat terutama di Eropah dan Asia Tengah berdasarkan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Dengan tindakan segera dan tegas, kita mampu mencegah serta menyekat ancaman pandemik yang dihadapi negara termiskin serta kanak-kanak yang terbabit.

“Mereka ini amat terdedah kepada kebuluran dan kekurangan zat makanan yang berpotensi untuk terus membelenggu seumur hidup mereka,” katanya.

Kedua-dua pertubuhan itu menggesa kerajaan negara berkenaan segera memperluaskan sistem keselamatan sosial dan penyediaan makanan di sekolah untuk mengehadkan kesan pandemik yang terus berlanjutan itu.