SYDNEY: Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales, merekodkan jumlah kematian COVID-19 harian tertinggi pada Sabtu susulan penyebaran pantas varian Omicron.

New South Wales melaporkan 30,062 jangkitan baharu menghampiri paras rekod.

Ibu negeri New South Wales, Sydney melaporkan 16 kematian akibat koronavirus pada hari sebelumnya.

Negeri kedua terbesar, Victoria, yang menjadi tuan rumah Kejohanan Tenis Terbuka Australia bulan ini, melaporkan 44,155 kes baharu COVID-19 dan empat kematian.

Australia melaporkan kes COVID-19 di bawah 100,000 secara keseluruhan, turun daripada rekod 116,025 hari sebelumnya, tetapi masih melepasi kebanyakan rekod kes harian sebelum ini.

Jumlah kematian pada hari tersebut adalah seramai 36 orang.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengambil ujian antigen pantas di rumah, kemudian melaporkan keputusan positif.

Sementara itu, Australia merancang untuk mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun pada Isnin.

Kebanyakan negeri berkata mereka akan memulakan tahun persekolahan baharu seperti yang dijadualkan pada penghujung Januari tetapi Queensland, negeri ketiga paling ramai penduduk, berkata ia akan menangguhkan kembali ke sekolah selama dua minggu untuk memberi masa kepada kanak-kanak untuk diberi vaksin.

Di sebalik wabak itu, pemimpin politik telah menyebut kadar vaksinasi Australia yang tinggi dengan lebih daripada 90 peratus individu yang berusia lebih daripada 16 tahun telah diberi vaksin sepenuhnya untuk mewajarkan rancangan pembukaan semula.