WELLINGTON: New Zealand menghentikan sementara gelembung perjalanan bebas kuarantin dengan Australia yang baharu dibuka berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Australia.

Kenyataan di laman web kerajaan New Zealand memaklumkan, perjalanan rentas negara menerusi protokol gelembung perjalanan trans-Tasman antara New Zealand dan barat Australia itu dihentikan sementara sehingga diberitahu kelak.

Keputusan diambil selepas pihak berkuasa Australia mengumumkan bahawa wilayah Perth dan Peel melaksanakan perintah berkurung selama tiga hari pada Khamis, selepas jangkitan COVID-19 dikesan dari sebuah hotel kuarantin yang menempatkan pelancong antarabangsa.

Ketua Menteri Australia Barat, Mark Mcgowan berkata, seorang lelaki yang dibenarkan meninggalkan hotel pada 17 April diuji negatif selepas berakhir tempoh 14 hari kuarantin, positif beberapa hari kemudian.

Mcgowan berkata, kenalan rapatnya di Perth diuji positif pada Sabtu dalam kes pertama penularan di negeri itu dalam tempoh 12 bulan, yang menyebabkan perintah berkurung.

Pihak berkuasa sedang mengesan kontak rapat dengan lelaki itu selama lima hari dia menghabiskan waktu di Perth sebelum terbang ke Melbourne, di mana dia didapati positif Rabu lalu dan diasingkan

New Zealand dan Australia mula membuka gelembung perjalanan bebas kuarantin Ahad lalu.

Australia adalah sumber pelancongan antarabangsa terbesar di New Zealand sebelum wabak COVID-19 melanda dunia, dengan menyumbang kira-kira 1.5 juta atau 40 peratus daripada jumlah pengunjung pada 2019.