JUMLAH kes COVID-19 di New York mula menunjukkan aliran penurunan apabila 478 kes kematian direkodkan pada Isnin.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut New York merekodkan penurunan kes kematian akibat positif COVID-19 sejak 1 April lalu.

Bagaimanapun, jumlah kematian di negeri itu tidak termasuk lebih 4,000 kematian yang dikaitkan dengan COVID-19 tetapi belum disahkan oleh ujian makmal.

Gabenor New York, Andrew Cuomo berkata, jumlah pesakit COVID-19 yang masih dirawat di hospital kekal melebihi 16,000 kes.

Katanya, jumlah pesakit baharu meningkat namun telah mendatar dengan lebih 1,300 kes.

Persoalannya ialah: "Adakah kita telah melepasi kemuncak? Kita mempunyai beberapa hari yang mengalami penurunan secara menyeluruh.

"Jumlah kematian pula, angka itu masih lagi tinggi. Jika anda melihat secara pandangan optimis, ia tidak seburuk seperti sebelum ini, tetapi 478 rakyat New York maut semalam.

"Kita akan memulakan ujian antibodi berskala besar hari ini. Di New York, sampel terbesar, tetapi ini harus menjadi projek diselaraskan kerajaan pelbagai peringkat kerana kita harus melakukan ini secara berterusan," jelasnya.

Sepanjang beberapa minggu New York menyaksikan peningkatan penularan dan kematian akibat COVID-19 sehingga menjadi pusat pandemik di Amerika Syarikat (AS).

Cuomo memaklumkan, pihaknya akan mula mengedarkan topeng muka serta pembersih tangan kepada penduduk di perumahan awam.

Tambahnya, kerajaan persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dalam melaksanakan ujian saringan kerana ujian itu terlalu bergantung kepada bekalan kit ujian negara.