PERDANA Menteri Jepun, Yosihide Suga menafikan kaitan antara peningkatan kes COVID-19 di negara itu dan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah, katanya, tiada bukti yang dapat mengaitkan angka kes jangkitan dengan temasya sukan yang berlangsung sejak 23 Julai lalu itu.

"Saya tidak fikir Olimpik ada kaitan dengan penularan jangkitan (di Jepun). Saya sering mengingatkan (orang awam) supaya menonton perlawanan di rumah, supaya elak keluar rumah tanpa keperluan atau tanpa kepentingan.

"Ini bagi memastikan usaha untuk mengurangkan jangkitan dalam kalangan orang awam," katanya di Hiroshima pada Jumaat.

Tokyo dikenakan perintah darurat sejak pertengahan Julai, diikuti empat lagi wilayah lain.

Namun, pelaksanaan darurat dikatakan gagal selepas orang awam semakin lesu dengan sekatan yang dikenakan.

Ia termasuk had masa pengoperasian dan larangan terhadap penjualan alkohol di restoran.

Pada Jumaat, Tokyo merekodkan 4,515 kes jangkitan COVID-19 baharu.

Ia berbanding 5,042 kes baharu pada hari sebelumnya, tertinggi yang pernah dicatatkan sejak bermulanya pandemik.