COVID-19: Singapura catat 226 kes baharu, termasuk banduan

Singapura mencatatkan 226 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan satu kes dalam komuniti melibatkan seorang banduan.

Setakat 12 tengah hari semalam, 46,926 atau 89 peratus daripada jumlah kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti. - Foto: Reuters | Astro Awani
Singapura mencatatkan 226 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan satu kes dalam komuniti melibatkan seorang banduan.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas 12 tengah hari yang dikeluarkan di sini, berkata banduan itu merupakan pemegang pas jangka pendek, yang tiba di Singapura sebelum langkah kawalan sempadan bermula.

MOH berkata bantuan itu telah diasingkan daripada banduan-banduan lain sejak dimasukkan ke Kompleks Penjara Changi pada 30 Julai.

Menurut kementerian, banduan itu disaring sebagai sebahagian daripada saringan proaktif Perkhidmatan Penjara Singapura ke atas banduan yang baharu dimasukkan ke dalam penjara.

Sementara itu terdapat sembilan kes import dan kesemuanya diserahkan Notis Duduk Dirumah sebaik tiba di Singapura, dan baki kes hari ini masih lagi pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dengan kes baharu ini jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 53,051 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 709 sebagai kes import, 2,181 kes komuniti dan 49,935 penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 46,926 atau 89 peratus daripada jumlah kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 109 kes yang disahkan masih lagi berada di hospital dan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,763 pesakit dengan simptom ringan atau dari segi klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA