Tahap enzim yang lebih tinggi dalam darah lelaki berbanding wanita didapati menjadi punca golongan itu lebih mudah dijangkiti koronavirus SARS-CoV-2.

Dapatan itu merupakan hasil kajian di Eropah yang dapat membantu menjelaskan mengapa kaum lelaki lebih mudah dijangkiti COVID-19 berbanding wanita.

Enzim pengubah angiotensin 2 (ACE2) itu ditemukan di jantung, buah pinggang dan organ lain.

ACE2 memainkan peranan utama menyebabkan jangkitan menular ke paru-paru.

Kajian yang diterbitkan Jurnal Jantung Eropah ini juga mendapati ubat perencat enzim penukar anglotensin (ACE inhibitor) atau penghalang reseptor angiotensin (ARB) yang digunakan secara meluas tidak membawa kepada kepekatan ACE2 yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, ia didapati tidak meningkatkan risiko COVID-19 bagi mereka yang mengambilnya.

Ubat perencat ACE dan ARB banyak digunakan untuk pesakit yang mengalami kegagalan jantung, kencing manis atau penyakit buah pinggang.

Ubat-ubatan tersebut menyumbang berjuta-juta dolar dalam penjualan preskripsi di seluruh dunia.

"Penemuan kami tidak menyokong kepada penghentian ubat ini kepada pesakit COVID-19," kata Adriaan Voors, profesor kardiologi di Pusat Perubatan Universiti (UMC) Groningen, Belanda yang memimpin kajian tersebut.

Pasukan Voors mengukur kepekatan ACE2 dalam sampel darah yang diambil daripada lebih 3,500 pesakit yang mengalami kegagalan jantung dari 11 negara Eropah.

Penyelidik menjelaskan kajian itu bermula sebelum wabak koronavirus dan tidak termasuk pesakit COVID-19.

Namun, ketika kaji selidik dijalankan, ACE2 menunjukkan cara koronavirus SARS-CoV-2 masuk ke dalam sel.

"Apabila kami mendapati bahawa salah satu penanda bio terkuat ACE2 jauh lebih tinggi pada lelaki berbanding wanita, saya sedar ia berpotensi menjelaskan mengapa lelaki lebih cenderung mati akibat COVID-19 daripada wanita," kata doktor di UMC Groningen yang mengetuai kajian ini, Iziah Sama.

ACE2 adalah reseptor pada permukaan sel yang mengikat koronavirus SARS-CoV-2 dan membolehkannya masuk dan menjangkiti sel.

Sama dan Voors berkata selain paru-paru, ACE2 terdapat di jantung, ginjal, tisu yang melapisi saluran darah dan pada tahap yang sangat tinggi di testis.

Menurut mereka, kehadiran enzim itu pada testis mungkin menjelaskan punca kepekatan ACE2 yang lebih tinggi pada lelaki dan mengapa golongan itu lebih terdedah kepada COVID-19.

COVID-19 telah menjangkiti lebih 4 juta orang di seluruh dunia dan membunuh hampir 277,000 orang.

Angka kematian dan jangkitan menunjukkan bahawa lelaki lebih cenderung berbanding wanita untuk dijangkiti penyakit ini dan mengalami komplikasi yang teruk atau kritikal.