KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) meneruskan kempen menuduh China sebagai dalang di sebalik penularan COVID-19.

Terkini, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper mengkritik keras kerajaan China yang didakwa cuba memulihkan imej sendiri dan menjadikan Beijing sebagai 'pihak yang baik'.

Tegas Esper, China tidak telus sejak awal penularan COVID-19.

“China masih perlu membenarkan kita bercakap dengan pesakit awal, pengkaji China dan saintis serta memberikan kami semua akses ini. Apa yang mereka buat kini? Mereka cuba untuk mengambil kesempatan atas COVID-19 dan mempromosikan imej China sebagai 'pihak yang baik'.

“Ini kerana di sebalik apa yang mereka gagal lakukan, mereka beri topeng muka, mereka beri ini dan itu. Mereka beri dana. Mereka ingin orang untuk lihat kebaikan yang mereka telah lakukan. Apa yang kami tahu adalah mereka berikan topeng muka dan barangan lain.

“Barang ini rosak dan ia tidak berfungsi. Ini adalah barangan yang rosak,” katanya.

Kenyataan terkini itu selepas Jabatan Negara, Keselamatan Dalam Negeri dan White House yang mendakwa China cuba melindungi skala penularan COVID-19.

Tambah AS, China dalam masa yang sama enggan memberikan mereka dan saintis global akses kepada maklumat penting untuk menyelamatkan nyawa.

China menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan tuduhan yang dibuat AS termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo sebagai tidak berasas.

Pompeo sebelum ini mendakwa COVID-19 berasal dari makmal di China.

Dalam masa yang sama, Pompeo sebelum ini turut mengutarakan cadangan untuk menghentikan China daripada memainkan peranan besar dalam rantaian bekalan perindustrian global.