Thailand merekodkan 17 kes baharu COVID-19, termasuk 15 rakyatnya yang baru pulang dari India, menjadikan jumlah keseluruhan menjangkau 3,376 kes.

Sementara itu jumlah kematian kekal 58, apabila tiada kematian akibat COVID-19 dilaporkan kematian dalam tempoh 24 jam.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan 15 warga Thailand berumur antara 12 dan 72 tahun, termasuk enam wanita, tiba di Thailand pada 8 Ogos dan telah menjalani kuarantin wajib di kemudahan disediakan kerajaan.

Menurutnya dua lagi adalah lelaki warga Thailand, seorang berusia 54 tahun yang pernah ke Amerika Syarikat dan seorang lagi pelajar lelaki berusia 25 tahun yang baru pulang dari Australia.

"Sehingga kini, seramai 3,173 pesakit COVID-19 telah sembuh, manakala 143 lagi masih berada di wad. Sejak 3 April hingga semalam, seramai 76, 574 orang, warga asing dan penduduk tempatan, telah memasuki negara ini dan menjalani kuarantin wajib di kemudahan disediakan kerajaan.

"Daripada jumlah itu 68,504 orang telah selesai menjalani tempoh kuarantin 14 hari dan pulang ke rumah. Seramai 439 orang didapati positif COVID-19," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Thailand (MFA) Chirdkiat Atthakor berkata kementerian berkenaan telah membantu 69,764 warga Thailand dari 97 negara, termasuk 45,943 orang yang melakukan perjalanan menerusi udara, 22,854 orang menerusi jalan darat dan 969 menerusi jalan laut, telah pulang ke tanah air sejak 3 April.

Setakat ini, beliau berkata kira-kira 1.6 bilion rakyat Thailand masih tinggal di luar negara.

"Pada Ogos, seramai 14,942 rakyat Thailand mendaftar untuk pulang ke tanah air," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Chirdkiat berkata MFA memberi kebenaran 5,700 warga asing masuk ke negara itu termasuk para diplomat, penduduk tetap dan pemegang permit kerja bukan warga Thailand, pasangan mereka dan anak-anak, pelancong kesihatan, pemegang kad Elit Thailand (mereka dengan visa kediaman jangka panjang dan visa kediaman kemasukan berulang kali), pekerja asing dari negara jiran.

Sejak 3 April, Thailand melarang semua penumpang penerbangan antarabangsa memasuki negara itu bagi mengekang pandemik COVID-19, dan setakat ini tiada pelancong asing dibenarkan masuk ke negara itu.

-- BERNAMA