Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan tiga lagi kes positif jangkitan COVID-19 di negara itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 84 orang.

Memetik laporan Channel News Asia, pada masa sama lima pesakit telah dibenar pulang setelah pulih sepenuhnya daripada jangkitan tersebut.

Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah discaj kepada 34 orang.

Salah seorangnya merupakan pesakit kes pertama, iaitu lelaki warga China dari Wuhan berusia 66 tahun.

Dia didiscaj pada Rabu, iaitu sebulan selepas disahkan dijangkiti virus berkenaan pada 23 Januari lalu.

BACA: Empat kes baharu COVID-19 di Singapura, jumlah terkini 81

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Menurut kementerian tersebut, daripada tiga kes terbaharu itu, satu kes mempunyai kaitan dengan gereja The Grace Assembly of God.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, pihak kementerian telah mengenal pasti 2,593 kontak rapat, di mana seramai 1,172 daripada jumlah itu sedang dikuarantin dan 1,421 telah selesai menjalani kuarantin.

Kes ke-82 dan 84 merupakan pesakit wanita, manakala kes ke-83 merupakan pesakit lelaki.

Kesemua mereka adalah warganegara Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China.

Kes ke-82 sedang dirawat di was pengasingan di di bilik isolasi di Ng Teng Fong General Hospital (NTFGH), sementara dua kes lagi dirawat di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID).