BEIJING: Syarikat farmaseutikal China yang membangunkan vaksin Omicron COVID-19 menggunakan teknologi mRNA telah mendapat kelulusan ujian klinikal di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Syarikat Suzhou Abogen Biosciences Co Ltd menyertai Pfizer-BioNTech dan Moderna dalam menguji calon vaksin yang diubah suai secara khusus menentang Omicron.

China telah memberi vaksin kepada lebih 88 peratus daripada 1.4 bilion penduduknya dengan vaksin bukan jenis mRNA.

Ia tidak meluluskan sebarang vaksin asing, walaupun data dunia sebenar menunjukkan dua produk China yang paling banyak digunakan dikeluarkan oleh Sinopharm dan Sinovac mempunyai keberkesanan yang lebih rendah terhadap jangkitan COVID-19 berbanding jenis mRNA daripada Pfizer/BioNTech dan Moderna.

Selain UAE, Abogen sedang berkomunikasi dengan pengawal selia di China dan negara lain mengenai ujian klinikal untuk vaksin tersebut.

Vaksin jenis mRNA dibangunkan Abogen bersama Walvax Biotechnology dan institusi penyelidikan yang disokong tentera China sedang diuji dalam percubaan fasa tiga di China, Mexico dan Indonesia.

Walvax juga bekerjasama dengan RNACure yang berpangkalan di Shanghai untuk membangunkan calon vaksin mRNA yang menyasarkan varian dengan reka bentuk berbeza daripada Abogen.

Dua calon vaksin khusus Omicron dari Sinopharm dan satu dari Sinovac yang mengandungi koronavirus yang tidak aktif atau "dilemahkan" dilulus untuk ujian klinikal di Hong Kong dan China.

Pengawal selia UAE telah meluluskan ujian klinikal untuk vaksin ketiga khusus Omicron daripada Sinopharm, berdasarkan protein, serta untuk dua vaksin khusus Omicron yang tidak aktif firma itu.