PERNAH anda melihat bagaimana "kesibukan" laluan udara sebelum dunia digemparkan dengan pandemik COVID-19?

Kalau ya, mungkin anda harus tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan bagaimana aliran trafik udara tersebut yang dahulu sibuk, kini sudah lengang!

Organisasi penerbangan berpangkalan di Brussel, Belgium, Eurocontrol hari ini mendedahkan visual animasi grafik yang memaparkan kesan terhadap sistem perjalanan trafik udara di seluruh dunia susulan pandemik COVID-19.

Syarikat yang bertanggungjawab mengawal sistem trafik udara di Kesatuan Eropah itu menyiarkan perbandingan antara aliran trafik penerbangan pada 2019 dengan tahun ini.

Visual grafik tersebut antaranya menunjukkan rakaman penerbangan di Eropah pada 18 April 2019 yang dilihat sangat sibuk berbanding aliran trafik udara pada 16 April tahun ini.

 Rakaman tersebut menyiarkan perbandingan antara aliran trafik penerbangan pada 2019 dengan tahun ini. - Gambar AP

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah trafik udara di Sepanyol, di mana negara itu setakat ini merekodkan kes kedua tertinggi positif COVID-19 selepas Amerika Syarikat.

Manakala, penerbangan ke China turut menyaksikan penyusutan selepas trafik udara di negara itu lengang sejak awal Januari tahun ini.

Difahamkan, lapangan terbang terbesar Eropah mengalami penurunan 90 peratus aliran tarik udara berbanding tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19.

Berdasarkan laporan Flightradar24, jumlah penerbangan yang direkodkan setakat Mac tahun ini menurun sebanyak 21.6 peratus berbanding tahun 2019.

Sementara, peratusan pesawat komersial pula menurun 27.7 peratus pada Mac 2020 berbanding tahun sebelumnya.